Ahad, 20 Disember 2015

Kembara ke Korea: Hari Pertama – Cozy Place Guesthouse & Itaewon

Bismillah...

Selepas beberapa bulan membuat perancangan, akhirnya sampai masa untuk saya dan rakan-rakan terbang ke Korea pada Oktober yang lalu. Penerbangan kami dari KLIA 2 ke Incheon International Airport mengambil masa lebih kurang 6jam 20 minit. Bertolak pada jam 8.00 pagi waktu Malaysia, kami tiba di Incheon pada jam 3.20 petang waktu Korea. Waktu Korea adalah 1 jam lebih awal dari Malaysia. Selepas tiba di Incheon International Airport, kami mengambil subway ke Itaewon kerana tempat kami menginap iaitu Cozy Place Guesthouse terletak di Itaewon.

Peta laluan subway Seoul sebagai rujukan sepanjang berada di Seoul
Cozy Place Guesthouse

Kami memilih untuk menginap di Itaewon kerana mudah untuk mencari restoran dan makanan basah halal di sini. Urusan tempahan guesthouse dibuat dari laman sesawang booking.com beberapa bulan sebelum berlepas ke Korea. Jumlah harga kami menginap apartment tiga bilik untuk 6 malam di sini ialah KRW 105,000 (RM398) seorang. Ada beberapa jenis bilik yang boleh dipilih di Cozy Place Guesthouse seperti double room, quadruple room, economy double room, triple room dan three-bedroom apartment. Daripada segi kemudahan, semuanya lengkap termasuk perkakas dapur dengan meja makan, microwave, penghawa dingin, TV, mesin basuh, seterika dan Wifi percuma. Wifi di Korea sangatlah laju jika dibandingkan dengan di Malaysia, jadi gunakanlah sepuas-puasnya. Kalau berhajat untuk masak sendiri atau menggunakan perkakas dapur mereka, jangan lupa bawa sabun taharah untuk menyamak. Bilik air juga lengkap dengan peralatan mandi seperti syampu dan sabun.

Salah satu bilik daripada 3 bilik di Cozy Place Guesthouse. Gambar kredit: airbnb
Bilik air lengkap dengan sabun dan syampu. Gambar kredit: airbnb
Dapur & meja makan. Gambar kredit: airbnb
Kedudukan tempat kami menginap dikira agak strategik kerana berdekatan dengan subway Itaewon yang mana hanya mengambil masa 10 minit sahaja dengan berjalan kaki. Tapi untuk ke sini, perlu melalui jalan yang sedikit berbukit, jadi perlu buat sedikit persediaan dengan membina stamina sebelum ke Korea. Terdapat banyak kedai runcit yang berdekatan dengan rumah jika anda ingin membeli barang keperluan dan makanan. Tuan rumah iaitu Mr Lee dan keluarga juga sangat peramah dan banyak membantu kami jika kami memerlukan sebarang keperluan dan bantuan. Mr Lee juga boleh berbahasa Inggeris.

# Bagaimana ke Cozy Place Guesthouse dari Incheon International Airport:
Ambil AREX train (all stop train) [airport line] -> berhenti di stesen Gongdeok (tukar line 6) -> stesen Itaewon [exit 1]


Arah ke Cozy Place Guesthouse dari subway Itaewon yang disediakan oleh Mr Lee

















Itaewon

Tarikan utama di Itaewon bagi umat Islam sudah semestinya Masjid Seoul. Masjid ini merupakan masjid pertama yang didirikan di Korea. Terdapat tiga tingkat di masjid ini; tingkat satu – bilik mesyuarat dan pejabat Persatuan Muslim Korea, tingkat dua - tempat sembahyang lelaki, tingkat tiga - tempat sembahyang perempuan. Jika berkesempatan, anda boleh menunaikan solat Jumaat di sini. Kutbah dibaca di dalam tiga bahasa iaitu bahasa Korea, bahasa Inggeris dan bahasa Arab. Jadi waktu kutbah di masjid ini adalah jauh lebih panjang berbanding di Malaysia.

Masjid Seoul
Di sekitar masjid, terdapat banyak restoran halal dari pelbagai negara, kebanyakannya dari Timur Tengah. Harga makanan di sini memang mahal jika dibandingkan dengan harga makanan di Malaysia, lebih kurang dalam RM30-60 satu hidangan. Tapi sekali sekala mengembara, tak salah jika keluar sedikit duit untuk merasa makanan di negara orang kan? Jika ingin berjimat, boleh bawa makanan dari Malaysia dan masak sendiri di guesthouse seperti kami. Disebabkan teringin untuk merasa makanan Korea, saya ada mencuba makanan Korea halal di sini iaitu dakdoritang (ayam tumis pedas dengan kentang) di Restoran Murree.  Rakan-rakan yang lain juga ada mencuba kebab, terdapat banyak kedai kebab halal di sini antaranya Mr Kebab dan Pasha Turkish Cuisine.

Gambaran dari dalam Restoran Murree
Dakdoritang dengan nasi Korea dan menu sampingan
Di sekitar pekan Itaewon terdapat banyak kedai menjual baju, kasut, dan beg. Itaewon menjadi tumpuan pelancong- pelancong asing terutama dari Amerika & Eropah untuk membeli-belah kerana kedai-kedai di sini menjual baju dan kasut yang bersaiz besar. Kalau dibandingkan dengan tempat membeli-belah yang lain, barangan di Itaewon boleh dikira sedikit mahal. Antara kedai-kedai yang terdapat di Itaewon:





Pada malam hari, Itaewon sangat happening sebab banyak bar yang dibuka sehingga pagi. Tapi sepanjang seminggu kami berada di sana, saya tak ada berselisih dengan mana-mana orang mabuk di tengah jalan atau diganggu dengan mana-mana orang asing.

# Bagaimana ke Itaewon

Subway selain line 6 -> stesen Gongdeok / Samgakji / Yaksu (tukar line 6) -> stesen Itaewon [exit 3]

Tiada ulasan:

Catat Ulasan